TAWAU, 13 September 2026 – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Cawangan Tawau telah menyertai Kontinjen Wisma Persekutuan Tawau dalam Program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perbandaran Tawau Tahun 2026 yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau dan Dewan Masyarakat Tawau, pada Ahad, dari jam 7.00 pagi hingga 11.30 pagi.
Seramai enam orang pegawai JANM Cawangan Tawau telah mengambil bahagian dalam program tersebut, diketuai oleh Puan Hasnah binti Kasau, bersama Puan Erni binti Abd Rahman Pudin, Puan Rafidah binti Kadir, Cik Marianah binti Amir Bek, Encik Shawn Placidus serta pelajar praktikal, Cik Fildzah binti Ebrason.
Program yang berlangsung penuh meriah dan mendapat sambutan menggalakkan ini menghimpunkan kira-kira 6,000 orang peserta melibatkan 47 kontinjen. Perarakan bermula dari Dataran Majlis Perbandaran Tawau menuju ke Dewan Masyarakat Tawau, dengan perarakan kontinjen didahului oleh Yang Berhormat Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, merangkap Adun N.68 Apas, barisan Ahli Yang Berhormat tempatan, dif-dif jemputan, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta pemimpin-pemimpin masyarakat daerah Tawau.
Pelbagai pengisian menarik telah disusun sepanjang program, antaranya Laungan Asmaul Husna, Nyanyian Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, alunan Ayat suci Al-Quran oleh Qari Daerah Tawau Tahun 2025 dan alunan qasidah oleh pelajar Madrasah Sungai Imam Tawau.
Turut memeriahkan program ialah ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Habib Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamed, selain penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sepanduk bagi kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Komuniti serta Kementerian/Jabatan Negeri dan Persekutuan. Program turut diserikan dengan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Kontinjen Paling Ramai Penyertaan serta Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Tahun 2026.
Lebih membanggakan, Kontinjen Wisma Persekutuan Tawau telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Sepanduk Peringkat Kementerian/Jabatan Negeri dan Persekutuan Tawau Tahun 2026.
Kejayaan ini merupakan hasil semangat kerjasama, komitmen dan kesepaduan warga dalam menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, di samping memperkukuh ukhuwah serta hubungan silaturahim antara warga perkhidmatan awam dan masyarakat setempat.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kontinjen Wisma Persekutuan Tawau atas kejayaan meraih Johan Pertandingan Sepanduk Tahun 2026! Semoga pencapaian ini terus menjadi pemangkin kepada semangat kebersamaan, kecemerlangan dan penglibatan aktif warga perkhidmatan awam dalam program-program kemasyarakatan pada masa akan datang.
#JANMCawanganTawau
#MadaniDihayati,UmmahDiberkati



