Tawau, 3 Julai 2026 – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Cawangan Tawau telah berjaya menganjurkan Kursus Refresher Pemantapan Pegawai Perakaunan / Kewangan PTJ yang telah berlangsung pada 3 Julai 2026 di Dewan Auditorium LKKM (Kejururawatan), Tawau. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 103 orang pegawai daripada Pusat Tanggungjawab (PTJ) di daerah Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pegawai perakaunan serta kewangan PTJ terhadap isu-isu naziran yang sering ditemui semasa semakan dan pemantauan pengurusan kewangan kerajaan. Selain itu, kursus ini turut memberi penjelasan mengenai kesilapan yang kerap berlaku, langkah-langkah penambahbaikan serta amalan terbaik bagi memastikan pengurusan kewangan di PTJ dilaksanakan dengan lebih cekap, teratur dan mematuhi peraturan kewangan yang berkuat kuasa.
Slot pembentangan isu-isu naziran telah disampaikan oleh Puan Najmiah Binti Kadir, Ketua Seksyen Pemantauan JANM Cawangan Tawau, bersama Puan Norjia Binti Daim, Ketua Unit Naziran JANM Cawangan Tawau. Pembentangan tersebut memberi fokus kepada dapatan-dapatan naziran, kesilapan yang sering berlaku di PTJ serta cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh pematuhan terhadap tatacara dan peraturan kewangan kerajaan.
Diharapkan kursus ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dalam meningkatkan kefahaman terhadap isu-isu naziran serta membantu PTJ mengambil tindakan penambahbaikan yang sewajarnya. Melalui perkongsian ilmu dan pengalaman yang disampaikan, para peserta diharap dapat mengurangkan ketidakpatuhan, memperkukuh tadbir urus kewangan serta memastikan pengurusan kewangan di PTJ masing-masing sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.



