Tawau, 22 Jun 2026 – Program Inspektorat dan Perjumpaan Warga Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Cawangan Tawau bersama YBrs. Tuan Haji Mohd Azraai bin Md Aznan, Timbalan Akauntan Negara (Operasi) telah dilaksanakan pada 22 Jun 2026 bertempat di JANM Cawangan Tawau. Program ini turut dihadiri oleh Puan Ruzinah binti Rukun, Pengarah Bahagian Pengurusan Operasi Pejabat Perakaunan(BPOPP), Jabatan Akauntan Negara Malaysia(JANM) bagi sesi perjumpaan bersama warga jabatan serta pelaksanaan program Inspektorat BPOPP 2026.
Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara pihak Pengurusan Tertinggi dengan warga jabatan, disamping memberi ruang kepada warga JANM Cawangan Tawau untuk mendapatkan pandangan serta perkongsian berkaitan hala tuju, pengurusan dan pelaksanaan tugas jabatan serta sebarang persoalan yang hendak ditujukan kepada pihak Pengurusan.
Dalam sesi perjumpaan bersama warga jabatan, YBrs. Timbalan Akauntan Negara (Operasi) telah menyampaikan amanat serta penekanan berkaitan kepentingan tadbir urus, integriti, komitmen, akauntabiliti dan kerjasama berpasukan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan sentiasa berada pada tahap yang terbaik. Pada sesi yang sama, turut dilaksanakan Mesyuarat pembukaan dan taklimat Inspektorat bagi pegawai JANM Cawangan Tawau.
Pelaksanaan Inspektorat JANM Cawangan Tawau telah dijalankan pada 22 hingga 24 Jun 2026 bagi menilai tahap pematuhan terhadap peraturan, prosedur kerja, tatacara pengurusan serta pengendalian dokumen dan rekod jabatan. Semakan dan pemeriksaan yang dilaksanakan telah memberi peluang untuk mengenal pasti aspek yang boleh ditambah baik serta memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.



