Kaunter Semakan Wang Tak Dituntut (WTD) yang dibuka sempena Karnival CIMIC Kerjasama Awam–Tentera 2025 pada 28 dan 29 Jun 2025 telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada para pengunjung. Sepanjang dua hari karnival berlangsung, seramai 495 orang telah hadir ke kaunter WTD untuk membuat semakan status WTD masing-masing. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kewujudan WTD serta memudahkan orang ramai menyemak dan menuntut wang yang menjadi hak mereka.
Menariknya, semakan tertinggi yang direkodkan sepanjang program ini adalah sebanyak RM12,521.00, membuktikan bahawa masih ramai individu yang mungkin tidak menyedari bahawa mereka mempunyai wang yang belum dituntut.
Kaunter semakan ini merupakan salah satu usaha proaktif pihak Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat menerusi program turun padang serta kolaborasi bersama agensi lain.
Bagi individu yang terlepas peluang untuk membuat semakan semasa karnival ini, anda masih boleh menyemak status WTD secara dalam talian melalui portal rasmi https://egumis.anm.gov.my atau hadir ke mana-mana kaunter WTD yang berdekatan.